PERKARANGAN SK Ulu Segan yang dinaiki air sedalam dua kaki sejak semalam di Bintulu. FOTO Erika George
Erika George
cnews@nstp.com.my


DAERAH Sebauh di Bintulu dan beberapa kawasan rendah berhampiran dilanda banjir berikutan hujan lebat yang berterusan sejak kelmarin.

Selain Hulu Sebauh, turut terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Segan dan Jalan Tubau - Bintulu yang ditenggelami banjir berkedalaman antara 0.5 hingga satu meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, hujan lebat yang berterusan menyebabkan beberapa sungai, termasuk Sungai Segan melimpah dan membanjiri kawasan berhampiran.

"Bagaimanapun, paras air di sebahagian besar lokasi terjejas belum mencecah tahap bahaya dan memerlukan operasi pemindahan penduduk dijalankan.

"Pegawai dan anggota kita sedang memantau rapi situasi di lapangan dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan cuaca tidak menentu," katanya.

Katanya, ketika ini paras banjir menurun, namun dikhuatiri meningkat semula jika hujan berterusan, selain bertembung fenomena air pasang besar.

Justeru, beliau menasihatkan penduduk setempat, terutama yang mendiami kawasan berhampiran sungai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga

"Apa yang penting ialah, setiap penduduk harus bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bersiap sedia sekiranya mereka perlu dipindahkan," katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk agar menghubungi segera talian kecemasan atau talian pengurusan bencana di kawasan masing-masing sekiranya kediaman mereka dinaiki air bagi membolehkan operasi pemindahan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 12:09 PM