AHLI Team Cakna bergambar kenangan bersama penerima bantuan selepas Majlis Cakna Jalinan Kasih Ramadan di Restoran Kambing Terbang, Senawang.
HM Digital

Seremban: Bermula sebagai rakan kelab motosikal, 70 ahli beralih arah dan sepakat menubuhkan Team Cakna (TC) untuk membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Kumpulan TC
yang dibentuk pada
3 November tahun lalu melaksanakan pelbagai program amal dalam usaha mendekati individu dan keluarga yang ditimpa musibah.

Ketua kumpulan, Shahrilman Mohammad berkata, antara program amal dijalankan ialah menyampaikan pek mengandungi pelbagai barang keperluan
asas kepada golongan memerlukan.

“TC bergerak dengan
duit poket ahli, kami belum menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
atau ahli politik.

“Sasaran utama kami ialah anak yatim, ibu tunggal dan asnaf serta rumah kebajikan yang memerlukan bantuan.

“Sempena Ramadan
ini, kami tidak ketinggalan melaksanakan program bantuan hingga Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Cakna Jalinan Kasih Ramadan
di Restoran Kambing Terbang di Senawang, dekat sini, semalam.

Seramai 30 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Walidaina Senawang, beberapa ibu tunggal
dan asnaf diraikan.

Shahrilman berkata, TC pernah menjayakan projek membina rumah keluarga miskin di Temerloh, Pahang pada Mac lalu.

“Kami berharap usaha ini dapat mempromosikan budaya prihatin dan menggalakkan sikap mengambil berat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 9:20 AM