GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


KERANA cemburu, seorang wanita menikam rakan sebiliknya menggunakan pisau dalam kejadian di kondominium di Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas, Balik Pulau, semalam.

Kejadian pada 7.30 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 28 tahun dan bekerja kilang itu mengalami luka sedalam 6 sentimeter di pinggang kanan dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku dalam bilik di kondominium terbabit.

Menurutnya, rakan serumah yang sedang tidur di bilik sebelah mendengar jeritan meminta tolong daripada mangsa dan dia terus bergegas untuk melihat apa yang berlaku.

“Sebaik masuk ke bilik berkenaan, rakan serumah itu terkejut apabila melihat suspek masih memegang pisau dan mahu menikam lagi mangsa sebelum dia menghalangnya.

“Melihatkan keadaan itu, rakan serumahnya terus membawa mangsa ke sebuah hospital swasta sebelum kes berkenaan dirujuk ke HPP,” katanya.

Anbalagan berkata, polis menahan suspek empat jam selepas kejadian dan turut merampas pisau digunakannya ketika menikam mangsa.

“Siasatan awal mendapati suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu sudah mengenali mangsa sejak dua tahun lalu dan dia kini direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, siasatan awal mendapati kes terbabit bermotifkan cemburu, namun kita masih belum mengambil keterangan daripada mangsa kerana dia sedang mendapatkan rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 8:45 PM