Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


RATUSAN rumah dan jalan raya dilaporkan ditenggelami banjir yang melanda seluruh kawasan di Seberang Perai akibat hujan lebat, sejak malam tadi.

Di daerah Seberang Perai Utara (SPU), dua pusat pemindahan baharu dibuka selepas dua pusat pemindahan di Kampung Desa Puri dan Paya Tok Akil ditutup.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Hakmal Effendi Ishak berkata, pusat pemindahan baharu yang dibuka itu membabitkan kawasan Lubuk Meriam dan Labuh Banting.

“Seramai 23 keluarga membabitkan 115 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air pagi tadi.

“Punca banjir sama seperti dua hari lalu apabila terdapat limpahan air sungai dari Kulim, Kedah memasuki sungai di kawasan ini bagaimanapun dua kawasan yang dinaiki air sebelum ini tidak terjejas.” katanya ketika dihubungi NSTP, di Butterworth.

Di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), hujan lebat disusuli angin kencang menyebabkan beberapa kawasan perumahan serta jalan dilanda banjir dan pokok tumbang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata hujan yang turun disusuli angin kencang dan ribut petir bermula jam 11.30 malam termasuk air laut pasang setinggi 2.4 meter menjadi punca banjir.

Menurutnya, antara kawasan yang terbabit meliputi kawasan Bukit Tengah, Mak Mandin, Bandar Perda, Sungai Puyu, Kampung Permatang Rawa, Taman Permai Jaya, Kampung Baru, Alma.

“Sebanyak 24 keluarga membabitkan 76 mangsa banjir dipindahkan ke pusat penempatan banjir di Dewan Orang Ramai Perda Timur 14, Pusat Penempatan Banjir Dewan JKKK Bukit Teh dan Dewan Orang Ramai Machang Bubuk.

“Dalam kejadian ini, puluhan peniaga di bazar Uptown Bandar Perda turut mengalami kerugian apabila khemah dan barangan niaga mereka rosak akibat dipukul ribut,” katanya.

Sementara itu, di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pula tiada banjir dilaporkan berlaku.

Difahamkan, keadaan banjir sudah semakin pulih dan air mula surut di beberapa kawasan namun penduduk dinasihatkan supaya berjaga-jaga memandangkan keadaan cuaca yang kurang memuaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 6:29 PM
MAIZATUL Akmam Yahya, 51, mengangkat pakaian yang terselamat daripada banjir di kampung Desa Puri dan Kampung Paya Tok Akil, Tasek Gelugor. FOTO Ramdzan Masiam