ANGGOTA pasukan keselamatan mengusung mayat mangsa. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@nstp.com.my


LELAKI dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari botnya di perairan Pulau Pisang, dekat Pontian, semalam, ditemui lemas, hari ini. .

Mayat Abdul Rashid Padang, 58, ditemui terapung di kedudukan 0.5 batu nautika dari pantai Pontian Kecil oleh sekumpulan nelayan tempatan.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, mayat mangsa ditemui orang awam yang membantu mencari mangsa, pada 10 pagi.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pontian Besar dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 11 pagi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, anak saudara mangsa melihat bot fiber milik mangsa berpusing-pusing dengan enjin masih hidup. Pemeriksaan mendapati tiada orang di dalam bot itu.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar dari Pontian Besar menuju ke Pulau Pisan, untuk menangkap ikan.

Sebaik menerima laporan berhubung kejadian, pihak berkuasa menggerakkan operasi SAR di kawasan mangsa hilang iaitu kira-kira 3.2 batu nautika timur Pulau Kukup dengan keluasan pencarian lebih kurang 33 batu nautika persegi.

Operasi membabitkan aset APMM, Pasukan Polis Marin, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu nelayan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 1:29 PM