Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@nstp.com.my


SEORANG pemandu lori milik sebuah kedai serbaneka melalui detik cemas apabila dia bukan sahaja diacu parang, malah turut dikejar seorang pengguna jalan raya menggunakan senapang di Taman Templer, Rawang, petang Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa seorang lelaki berusia 40 tahun dalam perjalanan dari Kajang menuju ke Prima Samudera, dekat Rawang.

Sumber berkata, ketika memandu di kawasan Taman Templer, mangsa dimaklumkan oleh seorang pemandu Toyota Hilux yang mendakwa lori dipandunya dilanggar kenderaan pacuan empat roda itu.

"Pemandu Toyota Hilux itu memarahi mangsa sebelum dipercayai mengeluarkan parang. Untuk mempertahankan diri, mangsa mengambil besi dari lorinya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun katanya, pemandu Toyota Hilux kemudian secara tiba-tiba mengeluarkan selaras senapang mengacukan senjata api itu ke arah mangsa.

"Mangsa yang merasa dirinya terancam masuk ke dalam lori dan cuba melarikan diri ke arah Selayang, namun suspek mengikut lori berkenaan dan dalam masa sama mengacukan senapang ke arah mangsa.

"Bagaimanapun, mangsa akhirnya berjaya meloloskan diri sebelum menghubungi majikan dan meminta pemandu lain untuk menjemput mangsa kerana khuatir akan keselamatannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.

"Pihak kami masih belum mendapat cerita sebenar. Pengadu tidak dapat dihubungi untuk dirakam percakapannya dan setakat ini kejadian dipercayai berpunca daripada kemalangan kecil antara suspek dengan pengadu.

"Justeru, pihak kami kini sedang mengesan pemandu lori milik kedai serbaneka itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 12:02 PM