TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO NSTP
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


BEKAS pegawai tentera berpangkat kapten mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini, atas tuduhan merompak wang tunai RM2.74 juta dari bilik kebal di tempat kerjanya di Securiforce Rawang, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Hafizan A Azis, 34, yang juga pengurus Securiforce, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan dengan melarikan wang tunai RM2,747,899 milik syarikat Securiforce Cawangan Rawang.

Ketika melakukan perbuatan itu, tertuduh menunjukkan sepucuk senjata api jenis ‘pump gun’ yang boleh mendatangkan ketakutan mati terhadap tiga pengawal keselamatan syarikat sama, Basirum Jaih, 59; Jalil Rasol, 58 dan Mohd Shahrul Iman Shafie, 31.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Securiforce Cawangan Rawang, di Taman Industri Rawang Indah, Rawang, jam 2.45 pagi pada 14 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api ( Penalti Lebih Berat 1971) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebat maksimum enam kali, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahmad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan jaminan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 28 Jun ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 5:35 PM