MODI akan singgah di Kuala Lumpur pada 31 Mei untuk bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO/FAIL
BERNAMA

PERDANA Menteri India, Narendra Modi akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia, Singapura dan Malaysia minggu ini.

Beliau dijadualkan mengunjungi Indonesia dari 29 hingga 31 Mei atas undangan Presiden Indonesia, Joko Widodo, sebelum ke Singapura dari 31 Mei hingga 2 Jun bagi memenuhi undangan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

“Beliau akan singgah di Kuala Lumpur pada 31 Mei untuk bertemu Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Kementerian Luar Negeri India (MEA) dalam kenyataan hari ini.

Semasa di Indonesia dan Singapura, Modi akan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin negara berkenaan selain menghadiri mesyuarat delegasi serta bertemu komuniti perniagaan dan masyarakat India.

Di Singapura, Modi dijadual menyampaikan ucaptama pada Dialog Shangri-la Ke-17.

Indonesia, Singapura dan Malaysia yang juga anggota ASEAN adalah Rakan Strategik India.

India amat mengutamakan hubungannya dengan rantau ASEAN dan komited untuk mengeratkan lagi hubungan itu dengan negara-negara anggota ASEAN selaras dengan Akta Dasar Timur kerajaannya.

Lawatan itu juga membolehkan Modi dan para pemimpin negara berkenaan membincangkan isu-isu penting dua hala, serantau dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 4:23 PM