ANGGOTA APM melakukan pemantauan di sekitar rumah pengadu. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


LIMA sekeluarga berdepan detik cemas selepas melihat kelibat buaya di sekitar halaman rumah mereka di Kampung Tajau, di Tuaran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam, buaya dianggarkan berukuran tiga meter (m) itu dilihat membaham seekor ayam peliharaan keluarga terbabit.

Saksi kejadian, Junqadre Saidin, 36, sebelum itu, halaman rumahnya dinaiki air selepas hujan lebat.

Katanya, dia kemudian mengambil kesempatan itu untuk memancing ikan di luar rumahnya.

"Beberapa minit kemudian, umpan saya dimakan ‘sesuatu’. Saya hairan apabila tali pancing seolah-oleh direntap dengan kuat sebelum putus. "Tidak lama kemudian, seekor buaya timbul sebelum membaham seekor dari ayam peliharaan kami,” katanya.

Dia kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk meminta bantuan.

Sementara itu, Pegawai APM Unit Tuaran, Paulina Francis berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian 7.35 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk melakukan pemantauan.

“Memang pernah terdengar perkara ini berlaku di kampung ini, tetapi ini kali pertama kami menerima aduan rasmi.

“APM menjalankan pemantauan selama sejam 15 minit di sekitar lokasi, namun reptilia itu tidak ditemui," katanya.

Paulina berkata, kejadian itu boleh mengancam penduduk di kampung berkenaan.

“Kita sentiasa bersedia untuk bertindak sekiranya perkara sama berulang dan buaya dilihat di kawasan itu lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 1:19 PM