NORLIZA menyediakan pelbagai lauk-pauk untuk dijual di Bazar Ramadan Pasar Batu Enam.
HM Digital

Kuala Nerus: Mengutamakan konsep amal jariah dalam perniagaan makanannya, seorang ibu tunggal kini boleh berbangga apabila bisnes yang diusahakan sejak 12 tahun lalu semakin maju.

Norliza Mat Yassin, 52, turut berkemampuan membuka kedai makan
di Kampung Wakaf Tengah di sini, dan menjual masakan panas dengan pelbagai menu pilihan.

Sempena Ramadan
ini, dia membuka gerai
di Bazar Ramadan di Pasar Batu Enam di sini, dan mampu mencatat jualan lebih RM2,000 sehari.

Menu disediakan termasuk aneka nasi seperti nasi minyak, kerabu, beriani gam, mandir, nasi lemak, bukhara, nasi tomato
dan nasi daging bersama, lauk kegemaran ramai iaitu gulai ayam, daging, puyuh, ikan patin, kerutup ayam, kari
daging dan ikan, ayam percik serta daging singgang.

Menurutnya, dia bersyukur mampu hidup berdikari dan menyara keluarganya bersandarkan kemahiran memasak selepas berpisah dengan bekas suami.

“Saya bermula kecil-kecilan saja sebelum mampu membuka kedai makan dan mencari ruang lain untuk berniaga terutama ketika Ramadan.

“Alhamdulillah, rezeki tidak putus dan saya percaya jika kita lakukan amal jariah menerusi pekerjaan kita lakukan, Allah akan berikan
lebih lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 8:24 AM