BOT yang ditahan bersama awak-awak dan tekong warga Vietnam kerana menangkap ikan tanpa permit berhampiran Kuala Kemaman, semalam. Wang tunai yang cuba disogok kepada anggota APMM (gambar kecil). FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


SEKUMPULAN nelayan Vietnam cuba merasuah RM8,000 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi melepaskan mereka yang ditahan atas kesalahan menangkap ikan tanpa permit, semalam.

Ketua Zon Maritim Kemaman Lefternan Komander Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata, pihaknya melakukan Operasi Perkasa Timur dan Operasi Marikh terserempak dengan dua bot nelayan tempatan itu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika dihampiri kedua-dua bot terbabit sedang menangkap ikan pada kedudukan 62 batu nautika dari Kuala Kemaman pada 5.30 petang.

“Sebaik menghampiri kedua-dua bot bernombor berkenaan, kita dapati seramai 20 awak-awak termasuk dua tekong warga Vietnam sedang menarik pukat.

“Pemeriksaan ke atas awak-awak dan tekong berusia 17 hingga 47 tahun itu mendapati mereka tiada dokumen pengenalan diri dan bot pula tidak mempunyai permit menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, ketika anggota menjelaskan kesalahan yang dilakukan beberapa awak-awak sebuah daripada bot terbabit cuba memberi rasuah sebanyak RM8,000.

“Anggota kami menolak tawaran (rasuah) terbabit supaya tidak mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut dalam bot berkenaan, pihaknya merampas anggaran 1.5 tan ikan, 500 kilogram ikan baja serta sotong kering seberat 1.6 tan.

“Nilai keseluruhan tangkapan yang dirampas dianggarkan berjumlah RM2 juta, manakala kedua-dua bot bot turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 , Akta Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan bot boleh dirampas, manakala tekong bot boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta dan awak-awak boleh didenda sehingga RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 11:42 PM