DADAH disyaki pil kuda yang dirampas daripada remaja lelaki. FOTO ihsan Polis
Rosliza Mohamed
cnews@nstp.com.my


REMAJA lelaki ditahan bersama pil kuda bernilai RM750 di belakang bangunan di Jalan Istana Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.

Lelaki berusia 18 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 4.10 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata, ketika serbuan, remaja itu bersendirian dan dalam keadaan yang mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui satu plastik cerah dalam poket seluar dipakainya.

“Di dalam plastik itu mengandungi 50 biji pil disyaki pil kuda dianggarkan bernilai RM750.

“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut, namun ujian saringan dilakukan mendapati negatif dadah,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Ismail berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek sedang menunggu seseorang untuk menjual dadah itu sebelum ditahan.

Beliau berkata, suspek dipercayai baru aktif dengan kegiatan itu, beberapa bulan lalu dan siasatan awal juga mendapati dia tiada rekod jenayah lampau.

“Dia direman selama tujuh hari hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 11:13 PM