Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


SEKUMPULAN empat lelaki bersenjatakan pistol dan tukul besi melakukan rompakan di sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, semalam.

Dalam kejadian pada 7.23 malam ketika waktu berbuka puasa, perompak mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan pelbagai jenis barang kemas bernilai kira-kira RM130,000.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, ketika kejadian keempat-empat lelaki yang memakai topeng muka menyerbu masuk premis berkenaan sebelum bertindak memecahkan cermin rak pameran.

“Salah seorang suspek menggunakan senjata iaitu objek menyerupai pistol, manakala suspek lain memegang beg yang digunakan untuk menyimpan barang kemas hasil rompakan.

“Manakala, dua suspek lagi menggunakan tukul besi untuk memecahkan cermin rak pameran barang kemas itu,” katanya.

Katanya, tiada tembakan dilepaskan di lokasi kejadian dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Terdapat seorang pengawal keselamatan bersenjata api bertugas di kedai emas itu, namun ketika kejadian dia berada dalam bilik rehat. Terdapat juga empat jurujual yang sedang bekerja ketika kejadian.

“Apabila pengawal keselamatan keluar dari bilik rehat, semua suspek sudah melarikan diri sebaik menyedari pengawal keselamatan mempunyai senjata api 'pum gun',” katanya.

Katanya, polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan keempat-empat suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 8:35 PM
SUSPEK kelihatan memecahkan cermin rak pameran barang kemas dalam rompakan di sebuah kedai emas di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, semalam.