BEKAS Senator Perlis, Ramli Sharif. FOTO Azhar Ramli
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


BEKAS Senator Perlis, Ramli Sharif, membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dimaklumkan mengenai keputusan pucuk pimpinan yang bersetuju menerima cadangan lantikan semula Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.

Katanya, tindakan itu bukanlah satu keperluan yang mendesak sehingga pucuk pimpinan perlu memaklumkan kepada Shahidan dalam setiap apa jua keputusan pucuk pimpinan.

"Jika dilihat kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai pemangku Presiden BN dan Datuk Seri Hishammuddin sebagai pemangku Timbalan Presiden BN adalah lebih tinggi kedudukannya dari Shahidan.

"Saya rasa ia bukanlah satu keperluan atau satu tanggungjawab yang mesti untuk mereka berdua maklumkan apa setiap keputusan yang dibuat di peringkat pusat kepada Pengerusi BN negeri.

"Kerana jika dilihat menurut susunan hierarki, Presiden dan Timbalan Presiden adalah lebih tinggi berbanding Pengerusi BN negeri dalam memutuskan sebarang keputusan," katanya ketika ditemui di Hotel Putra Regency, Kangar, malam tadi.

Menurut Ramli, pihak Shahidan hanya perlu terima sahaja apa jua keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan mengenai perlantikan Menteri Besar negeri.

"Shahidan perlu sedar bahawa had dan fungsi tugasnya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, tugasnya hanya untuk mengkoordinasi UMNO di peringkat bahagian dalam negeri. Jadi jika sebarang keputusan yang dibuat di peringkat pusat, kita di peringkat negeri perlu akur.

"Bukannya membuat sebarang keputusan sendiri, apatah lagi sebelum ini beliau cuba memecat keahlian UMNO seseorang. Sedangkan jelas dalam perlembagaan UMNO bahawa tindakan memecat ahli parti terletak pada Majlis Kerja Tertinggi UMNO," katanya.

Katanya, beliau menyarankan kepada Shahidan dan juga sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya kembali ke Perlis dan memohon maaf kepada pihak di Istana Arau.

"Mohonlah ampun dan maaf kepada Tuanku Raja Perlis, dan kepada Menteri Besar sendiri berhubung tindakan mereka itu.

"Jika mereka tidak dapat terima juga keputusan ini, tiada pilihan lain melainkan mereka ini melepaskan jawatan sebagai ADUN dan kemungkinan untuk adakan Pilihan Raya Negeri juga tinggi.

"Malah, saya bimbang jika rakyat di negeri ini memberontak dengan tindakan mereka sehingga ia memudaratkan dan memberi tanggapan yang buruk ke atas parti di negeri ini," katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Syed Atif mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak memaklumkan Shahidan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis mengenai persetujuan mereka menerima cadangan lantikan semula Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.

Beliau mendakwa, Ahmad Zahid dan Hishammuddin menyatakan persetujuan kepada cadangan melantik Azlan sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua ketika menghadap Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 10:10 AM