Mohd Tamyes
Hasliza Hassan
hasliza_hassan@nstp.com.my

Shah Alam: Umat Islam di Selangor digalakkan membayar zakat mengikut harga beras biasa dimakan walaupun zakat fitrah ditetapkan di negeri itu RM7 yang dinisbahkan kepada purata harga beras dibeli kebanyakan masyarakat.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Keputusan Fatwa di Jabatan Mufti Selangor menetapkan zakat fitrah yang wajib dikeluarkan mengikut harga beras yang lazim dimakan setiap hari kerana lebih bertepatan.

Beliau berkata, bagi mereka yang biasa membeli beras RM2.60 sekilogram, kadar zakat dibayar RM7 manakala mereka yang makan beras Gred Super berharga RM8 sekilogram, kadar zakat RM20.80.

“Ikut pandangan ulama, wajib zakat fitrah mengikut kelaziman individu itu makan. Jika dia makan beras mahal, kadar 2.6 kilogram didarabkan dengan nilai beras itu,” katanya.

Mohd Tamyes berkata, menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras biasa dimakan bukan perkara baru kerana sudah ada yang melaksanakannya dan cara itu lebih afdal serta bertepatan dengan kehendak hadis.

Beliau memetik hadis diriwayatkan Imam Bukhari, sahabat nabi, Abu Said al-Khudri mengatakan mereka mengeluarkan zakat sebanyak satu sha’ (makanan asasi), mengikut apa yang mereka makan.

Mohd Tamyes berkata, tujuan zakat diwajibkan seperti kewajipan berpuasa adalah untuk memberi kesedaran dan menginsafkan umat Islam terhadap nasib golongan tidak berkemampuan selain menampung kekurangan ibadat puasa yang dilaksanakan.

Beliau berkata, sebagai galakan bersedekah khususnya pada Ramadan dengan menimbulkan kesedaran membantu golongan fakir dan miskin, selain menghilangkan sifat kedekut serta bakhil.

“Kita digalakkan berbelanja dan bersedekah yang lebih baik atau yang kita sayang. Jika dibandingkan RM7 dengan RM10, tentu kita sayang RM10. Namun, jika yang kita sayang itu dibelanjakan lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam di Selangor boleh membayar zakat minimum RM7 mengikut ketetapan yang wajib di sisi fatwa tetapi mereka digalakkan atau lebih afdal membayar mengikut harga beras yang dimakan.

Katanya, bagi yang ingin membayar mengikut harga beras dimakan tidak ada masalah kerana 2,760 penolong amil fitrah di seluruh Selangor membantu pembayar zakat menunaikan kewajipan itu.

Ditanya mungkin timbul persoalan terhadap status zakat dibayar tidak menepati jumlah mengikut harga beras yang dimakan, Mohd Tamyes berkata, Islam sentiasa menggalakkan umatnya memperbaiki amalan.

“Lembaga Zakat Selangor (LZS) dibantu amil fitrah dilantik akan memberi penjelasan berhubung perkara itu bagi meningkatkan kesedaran umat Islam beramal dengan lebih baik.

“Kewajipan zakat fitrah pelengkap kepada ibadat puasa Ramadan dan menguji keimanan kerana memberi menuntut kekuatan iman. Andai kita pemurah, bermakna kita berhasil mengikis penyakit bakhil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 5:30 AM