Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@nstp.com.my


ORANG ramai diminta mengemukakan pandangan dan cadangan berhubung keperluan untuk mengkaji semula had usia bagi mengambil lesen memandu motosikal dan kereta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia berikutan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya dalam kalangan usia 25 tahun ke bawah adalah antara penyumbang tertinggi berdasarkan statistik setiap tahun.

Katanya, pada masa ini, usia yang ditetapkan bagi mengambil lesen ialah 16 tahun untuk motosikal dan 17 tahun bagi kereta.

"Berdasarkan statistik 2016, sebanyak 7,152 kes kematian akibat kemalangan dilaporkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,161 kematian membabitkan kalangan usia 16 hingga 20 tahun manakala 1,000 kematian adalah mereka yang berusia 21 hingga 25 tahun.

"Jika dibandingkan dengan 2015, sebanyak 6,706 kematian akibat kemalangan dilaporkan dengan 934 kematian membabitkan mangsa berusia 16 hingga 20 tahun dan 828 kematian dalam kalangan usia 21 hingga 25 tahun,

"Jadi, sebarang cadangan dan pandangan boleh disalurkan kepada pihak Kementerian Pengangkutan, JKJR atau beliau sendiri melalui pelbagai platform sama ada emel atau Facebook," katanya pada sidang media sempena lawatannya di Jabatan Keselamatan Jala Raya (JKJR) di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Ketua Pengarah JKJR, Datuk Rosli Isa.


MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika sidang media selepas majlis sesi pengenalan Menteri Pengangkutan bersama pegawai-pagawai JKJR di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Pada masa sama, beliau menyeru pelbagai pihak sama ada persatuan atau individu termasuk dalam kalangan belia untuk memberi cadangan kepada JKJR berhubung program advokasi bagi meningkatkan kesedaran terhadap tahap keselamatan jalan raya.

Katanya, cadangan dan pandangan daripada golongan muda penting dalam memastikan program yang dianjurkan dapat menarik minat mereka sekaligus meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan ini.

"Sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk kempen kesedaran dan saya tahu setiap jabatan menghadapi kekangan kewangan namun, kita tidak akan berkompromi berhubung program sebegini.

"Justeru, saya juga mengalu-alukan syarikat korporat terutama syarikat insurans untuk terbabit dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) misalnya membuat filem pendek untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keselamatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Ops Bersepadu sempena Aidilfitri akan dilancarkan bermula 7 Jun ini di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban ke arah selatan dan ia dilaksanakan serentak di seluruh negara.

"Selain lebuh raya ke arah selatan, saya juga akan turun bersama di dua tempat lagi iaitu lebuh raya ke arah utara dan pantai timur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 3:46 PM