NOR Asmira (duduk kiri) dan Sharul bersama rakan yang mengikuti Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) di Indera Mahkota, Kuantan berdoa sebelum memulakan kelas. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat
cnews@nstp.com.my


“RAMADAN kali ini memberi peluang kepada saya berdoa supaya lebih ramai lagi saudara dan jiran di kampung memeluk agama Islam dan mengamalkan cara hidup dituntut agama.

“Impian dan cita-cita saya selepas tamat belajar di Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) di Indera Mahkota, Kuantan ini ialah menjadi pendakwah untuk masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman,” kata belia Orang Asli, Nor Asmira Rosni.

Wanita berusia 21 tahun yang kali pertama menjalani ibadah berpuasa tahun ini selepas memeluk Islam Februari lalu berkata, masyarakat Orang Asli memerlukan bimbingan untuk mendekati agama Islam tanpa bimbang dan takut.

Selepas memeluk Islam, katanya, golongan berkenaan perlu mendapat tunjuk ajar dan panduan daripada pendakwah atau penggerak pendidikan agama secara berterusan.

“Niat saya untuk menjadi umat Islam berputik sejak di bangku sekolah apabila berkawan dengan pelajar lain beragama Islam.

“Saya pernah mengikut rakan lain berpuasa, tapi tidak penuh beberapa hari ketika tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, Pekan empat tahun lalu,” katanya.

Nor Asmira berkata, walaupun lapar dan dahaga pada hari pertama puasa, namun sebagai memenuhi tuntutan agama dia perlu kuatkan semangat serta yakin mampu melakukannya sama seperti orang lain.

Katanya, dia bersyukur kini impian menjadi muslimah menjadi kenyataan walaupun pengetahuan agama masih cetek dan memerlukan lebih banyak bimbingan.

“Sebagai anak sulung daripada lima beradik, saya kini tidak sabar untuk menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga yang banyak memberi sokongan,” katanya yang berasal dari Kampung Orang Asli Arong, Pekan.

Bagi Sharul Ramli, 19, dari Kampung Orang Asli Api Larat, Pekan berkata, pengalaman kali pertama berpuasa begitu mencabar hingga memaksa dia banyak berehat terutama pada hari pertama Ramadan.

Katanya, walaupun bersahur, namun rasa lapar dan dahaga tetap ada terutama pada hari pertama dan kedua puasa, tetapi kini semuanya dapat diatasi dengan sokongan dan nasihat rakan serta guru.

“Setiap hari saya berdoa supaya ibadah puasa yang kali pertama dilakukan ini berjaya selama sebulan dan lebih manis dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga yang terlebih dahulu memeluk Islam.

“Saya yakin dengan keimanan sahaja dapat menjadi pendorong kuat kepada melakukan semua tuntutan agama seperti solat, berpuasa dan membaca al-Quran," katanya bercita-cita menjadi pendakwah di penempatan Orang Asli.

Sementara itu, Penolong Pengurus PETAMA, Razi Ahmad berkata, kini terdapat 67 pelajar Orang Asli dari Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu belajar di PETAMA di Indera Mahkota.

Beliau berkata, walaupun mereka baru memeluk Islam, rata-rata pelajar terbabit tetap bersemangat dan tabah menghadapi dugaan termasuk kelihatan penat pada hari pertama puasa.

“Selain belajar agama, pelajar di PETAMA turut didedahkan dengan pengetahuan akademik bagi melayakkan mereka memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga,” katanya yang mendapat sokongan Yayasan Pahang (YP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 12:56 PM