ANGGOTA polis memeriksa premis perjudian yang diserbu.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berselindung disebalik kedai menjual alat telekomunikasi antara taktik masih digunakan sindiket perjudian bagi mengelak operasi mereka daripada dihidu pihak berkuasa.

Selain melindungi operasi haram dijalankan, taktik berkenaan juga digunakan untuk mengelakkan penduduk yang kurang senang dengan aktiviti menyalahi udang-undang berlaku di kejiranan mereka melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

Taktik berkenaan yang popular sebelum ini dikesan digunakan semula oleh pihak sindiket hasil serbuan Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman, terhadap 20 premis sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Malah, hasil serbuan dilakukan STAGG mendapati pihak sindiket turut mengupah pengawal keselamatan untuk menjaga premis masing-masing selain memerhatikan pergerakan dan kehadiran pihak berkuasa.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, serbuan itu adalah hasil intipan selama dua minggu oleh pihaknya selain maklumat diterima daripada orang ramai selepas menyedari aktiviti tidak berfaedah itu berleluasa di kejiranan mereka.

Beliau berkata, antara lokasi serbuan sebelum ini adalah sekitar Serdang, Sungai Buloh, Dengkil, Kuala Selangor, Shah Alam dan Subang Perdana.

KOMPUTER riba yang dijadikan platform perjudian turut dirampas.

“Berdasarkan kepada keadaan premis kami percaya sindiket sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu, manakala jumlah keuntungan diperoleh setiap hari pula mencecah RM50,000 hingga RM70,000.

“Kami turut merampas ratusan set komputer termasuk komputer riba, modem, mesin simulator, cip kredit dan wang tunai ribuan ringgit daripada pengendali premis terbabit,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut menahan beberapa kaki judi termasuk warga asing yang ketika itu leka bertaruh hingga langsung tidak menyedari premis berkenaan diserbu STAGG.

“STAGG juga menahan beberapa individu lelaki dan perempuan yang dipercayai penjaga dan pengendali premis berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, semua individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Jika sabit kesalahan mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.

Berikutan itu beliau, meminta kerjasama daripada orang ramai agar terus menyalurkan maklumat jika menyedari atau mengesyaki ada premis di kejiranan mereka yang menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen untuk tindakan susulan STAGG.

“Kami akan terus mengempurkan pusat judi tidak berlesen ini, namun tanpa kerjasama daripada orang ramai usaha itu agak sukar. Sebelum ini banyak maklumat disalurkan orang ramai membuahkan hasil, jadi kami harap kerjsama daripada masyarakat berterusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 4:58 AM