Bumbung rumah di tingkat lima berlubang.
Amrullah Abdul Karim
cnews@nstp.com.my

Bukit Beruntung: “Ibu...ibu...bumbung jatuh,” itu jeritan Muhammad Haziq Shaharudin, 10, yang nyaris dihempap tetulang konkrit runtuh dari bumbung rumahnya di tingkat lima Blok J, Pangsapuri Anggerik, Taman Bunga Raya, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.35 tengah hari itu, murid tahun empat berkenaan bersiap untuk ke sekolah agama manakala ibunya, Aminah Alias, 48, menunaikan solat di ruang tamu rumah.

Muhammad Haziq berkata, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan runtuhan tetulang konkrit bersama batu itu runtuh dipercayai akibat disambar petir.

Katanya, dia berdiri berdekatan sofa di ruang tamu rumah sebelum struktur itu tiba-tiba runtuh di sebelahnya lalu menghempap tempat duduk itu.

“Saya terus menjerit kepada ibu bumbung jatuh.

“Ibu yang sedang solat terpaksa berhenti sebab bumbung itu jatuh dekat dengannya,” katanya ditemui ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar di rumahnya, kelmarin.

Muhammad Haziq berkata, sebelum itu dia terdengar bunyi dentuman kuat dari atas bumbung disusuli runtuhan tetulang konkrit berkenaan.

Harumaini (kanan) bersama Muhammad Haziq (kiri) melihat struktur tetulang konkrit yang runtuh.

Dalam pada itu Aminah berkata, dia tergamam dan dalam keadaan terkejut dia memeluk Muhammad Haziq lalu menariknya ke tepi.

“Ketika itu hanya saya dan anak kedua berada di rumah. Suami kerja dan dua lagi anak ke sekolah.

“Saya tidak tahu hendak buat apa sebab terkejut. Hanya tertanya betulkah rumah saya (berlubang) macam ini,” katanya kemudian menghubungi suaminya yang bekerja di Rawang.

Katanya, kejadian itu menyebabkan bumbung rumahnya berlubang dan ruang tamu dipenuhi air hujan serta bekalan elektrik terputus.

Sementara itu, Harumaini berkata, atas inisiatif pihak Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Anggerik, mangsa kini ditempatkan sementara di dewan kediaman berkenaan.

Katanya, bantuan segera iaitu wang tunai sudah dihulurkan dan dia akan membantu pihak JMB menguruskan keperluan penempatan lain yang lebih selesa sementara kerja membaikpulih dilakukan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 4:54 AM