Mohd Zain menunjukkan saluran yang dibuat pada pokok kurma bagi mengalirkan nira ke dalam botol air mineral yang digunakannya.
Mohamad Zulhairie Manzaidi
cnews@nstp.com.my

Kota Bharu: Seorang peniaga berjaya menghasilkan air nira daripada pokok kurma yang dikatakan lebih sedap daripada nira kelapa.

Mohd Zain Mohamad, 58, berkata, dia langsung tidak menjangkakan pokok kurma mampu menghasilkan nira yang lebih lemak dan sedap berbanding nira kelapa.

Menurutnya, dia yang menanam 50 pokok kurma sebagai hobi dan juga untuk dijual di Kampung Teras, Binjai di sini, mendapat tahu mengenai pokok kurma boleh menghasilkan air nira daripada pekerja Bangladesh.

“Pekerja terbabit menunjukkan cara menghasilkan nira atau tuak dalam dialek Kelantan daripada pokok kurma kerana di negaranya ia cukup terkenal.

“Selain itu, saya juga belajar dari sumber lain dan hasilnya cukup membanggakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, rasa nira yang dihasilkan pokok kurma agak berbeza daripada nira kelapa dan nipah.

“Saya tidak tahu sepohon pokok kurma mampu hasilkan berapa liter nira kerana masih lagi dalam proses pembelajaran.

“Namun untuk mendapat 1.5 liter nira, ia memerlukan masa 24 jam,” katanya.

Mohd Zain berkata, walaupun masih baru tetapi dia sudah mendapat permintaan daripada orang ramai.

Katanya, ia tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan kerana tidak mempunyai bekalan yang mencukupi.

“Saya cuba buat ketika awal Ramadan lalu, dan masih mencari kaedah terbaik untuk mendapatkan kuantiti nira yang banyak, jadi terpaksa menolak setiap permintaan.

“Insya-Allah, jika diberi kesempatan saya cuba bekalkan nira kurma ini selepas Ramadan,” katanya.

Menurutnya, bermula dengan menanam 50 pokok, dia kini mampu membenihkan lebih 500 pokok kurma di tanah seluas 0.2 hektar di Kampung Teras, Binjai.

Katanya, dia juga mempunya lebih 200 pokok kurma yang ditanam di tiga lokasi yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 4:39 AM