MOHAMED Azmin. FOTO Arkib NSTP
Norrasyidah Arshad
norrasyidah@nstp.com.my


TEKA-TEKI siapa akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dijangka bakal diketahui selepas sambutan Aidilfitri, bulan hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan mengenai penggantinya akan dilakukan minggu hadapan bersama komponen parti di bawah Pakatan Harapan.

Katanya, perbincangan itu turut menentukan sama ada jawatan Menteri Besar akan mengekalkan calon dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR atau sebaliknya.

"Setakat ini, belum ada ‘shortlisted’ (disenarai pendek) calon Menteri Besar dan kita hanya berbincang mengenainya pada minggu depan.

"Apabila ada nama cadangan nanti kita akan kemukakan secepat mungkin kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas Aidilfitri ini.

“Saya sudah menyembah maklum kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila baginda berkenan dengan nama terbabit, proses angkat sumpah akan dijalankan secepat mungkin," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Berbuka Puasa bersama Sultan Sharafuddin di Masjid Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Turut berangkat hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Ketika ini, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi akan kekal memegang jawatan Menteri Besar buat sementara waktu sehingga tempoh peralihan kuasa dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

Ia berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyenaraikan Timbalan Presiden PKR itu dalam senarai Kabinet PH.

Pada 11 Mei lalu, Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua di Istana Alam Shah, Klang selepas PH berjaya mengekalkan kedudukan di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 8:42 PM