SEORANG penganggur dihadapkan di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan merogol teman wanitanya berusia 15 tahun 10 bulan di sebuah rumah di Kampung Pantai Mek Mas pada 7 Mei 2018. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan merogol teman wanitanya, dua minggu lalu.

Tertuduh Mustazar Mustapa, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Difahamkan mangsa adalah pelajar tingkatan empat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun 10 bulan di sebuah rumah di daerah ini pada 12.01 tengah malam, 7 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh sebutan untuk laporan perubatan mangsa.

Tertuduh tidak mengemukakan rayuan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 1:46 PM