DR Wan Azizah (kiri) bersama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Suriani Ahmad (dua kanan) ketika hari pertama memulakan tugas. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@nstp.com.my


DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan pertemuan dengan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu depan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan caruman KWSP kepada suri rumah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, berkata perkara itu ke arah merealisasikan janji 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyediakan kemudahan itu kepada suri rumah di negara ini.

“Saya akan bertemu dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) KWSP bagi pelan tindakan caruman kepada suri rumah.

“Kita perlu menentukan mekanisme seperti siapa yang layak dan bagaimana diberikan sebab caruman dua peratus adalah daripada gaji suami dan kita ada pengiraan kalau (suami ada) isteri satu, dua atau tiga kalaulah yang Islam itu.

“Mekanisme akan dikaji mendalam kerana ini membabitkan dana kerajaan RM50 kepada sesiapa yang layak menerima,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Wan Azizah menghadiri majlis bagi menerima nota serah tugas daripada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 11:28 AM