TUANKU Muhriz bersama Tuanku Aishah Rohani berkenan bergambar bersama barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) negeri dan pasangan masing-masing selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah EXCO Negeri Sembilan.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my

Kuala Pilah: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Istana Besar Seri Menanti di sini, semalam.

Mereka yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada istiadat itu adalah lima ADUN DAP, tiga daripada PKR dan dua anggota Parti Amanah Negara (Amanah).

Turut berangkat pada majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-’Abidin.

Hadir sama, Undang Luak Rembau Datuk Muhammad Sharip Othman, Undang Luak Johol Datuk Mohammed Abdullah, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak dan Menteri Besar Aminuddin Harun.

Mendahului senarai mengangkat sumpah jawatan adalah ADUN Ampangan Dr Mohamad Rafie Ab Malek daripada PKR, Mohamad Taufek Abd Ghani (PAN-Paroi), Ismail Ahmad (PKR-Labu) dan Bakri Sawir (Amanah-Klawang).

Ia diikuti ADUN Pilah Mohamad Nazarudin Sabtu daripada PKR, Teo Kok Seong (DAP-Bahau), S Veerapan (DAP-Repah) dan J Arul Kumar (DAP-Nilai).

Turut dilantik Nicole Tan Lee Koon (DAP-Bukit Kepayang) dan Choo Ken Hwa (DAP-Lukut).

Wakil rakyat DAP paling ramai dilantik sebagai EXCO kerana parti itu menang 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), manakala PKR dan Amanah masing-masing menang enam dan tiga kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 3:38 AM