GUAN Eng ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dan Arul Kanda di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ooi Tee Ching dan Hazwan Faisal Mohamad
cnews@nstp.com.my


PENGARAH 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mendakwa terdapat pelaburan yang dibuat oleh syarikat itu sebagai satu ‘scam’ (penipuan).

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Pengarahnya, Datuk Kamal Mohd Ali, kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam satu perjumpaan di Kementerian Kewangan di Putrajaya, petang tadi.

Guan Eng berkata, beliau bertanya kepada Lembaga Pengarah 1MDB mengenai unit pelaburan bernilai AS$940 juta (RM3.75 bilion) sebelum ini yang dipegang oleh BSI Bank di Singapura dan dana pelaburan luar negara bernilai AS$1.56 bilion (RM6.22 bilion) dimiliki oleh 1MDB Global Investments Ltd.

Katanya, kedua-dua pelaburan itu dianggarkan bernilai RM9.8 bilion yang mana jika ditebus, lebih daripada mencukupi untuk melunaskan hutang 1MDB untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

“Lembaga Pengarah mendakwa mereka sudah berulang kali mempertikaikan nilai berkenaan, malah kewujudan pelaburan ini sewaktu mesyuarat bulanan lembaga pengarah.

“Ini kerana, pengurusan 1MDB sudah banyak kali gagal melaporkan kepada lembaga pengarah mengenai sebarang bukti kewujudan pelaburan ini sepanjang dua tahun ini.

“Datuk Kamal Mohd Ali menggelarkan pelaburan terbabit sebagai satu ‘scam’,” katanya kepada pemberita di Kementerian Kewangan, di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, bagaimanapun memaklumkan bahawa pelaburan itu wujud biarpun BSI Bank sudah ditutup operasinya.

Malah, katanya, Azmi memberi alasan tidak munasabah dengan mengatakan pengurus dana itu enggan berkomunikasi dengan 1MDB secara bertulis kerana siasatan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

“Arul Kanda pula mendakwa semua hal kewangan 1MDB sudah diuruskan dengan ketat oleh CFO syarikat dan beliau sememangnya tidak pasti mengenai berapa nilai pelaburan itu atau sama ada ia wujud atau tidak.

“Adalah amat tidak munasabah untuk seseorang yang dibayar mahal dan seorang ahli bank pelaburan berpengalaman boleh tidak tahu sama ada pelaburan bernilai RM9.8 bilion ini wujud atau tidak.

“Maklum balas diberikan Arul ini amat mengejutkan dan tidak masuk akal kerana sebelum perubahan kerajaan, beliau sudah menjelajah ke seluruh negara berceramah mengenai keupayaan kewangan 1MDB dan keberkesanan pelaburan ini,” katanya.

Malah, tambah Guan Eng, kenyataan dibuat Arul pada hari ini juga berubah berbanding kenyataan dibuat oleh beliau kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) seperti mana yang direkodkan dalam Hansard.

Sehubungan itu, beliau mendapati Arul sudah tidak jujur sama sekali dan mengarahkan penasihat undang-undang Kementerian Kewangan menilai semula kedudukannya sebagai Presiden 1MDB.

“Saya juga mengarahkan kementerian ini supaya melantik Pricewaterhouse Coopers (PwC) Malaysia untuk melaksanakan audit khas dan penilaian semula 1MDB supaya rakyat Malaysia dapat tahu kedudukan sebenar kewangan syarikat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 8:45 PM