LELAKI tempatan diselamatkan dalam operasi bersepadu JKM negeri bersama tujuh agensi lain di sekitar Sungai Petani, semalam. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


BIARPUN pernah diselamatkan pihak berkuasa sebelum ini, bapa kepada dua anak kembali mengemis dengan alasan tidak mendapat pekerjaan disebabkan faktor kesihatan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Azmi Abd Karim, berkata lelaki tempatan berusia 43 tahun itu diselamatkan JKM dalam operasi bersepadu ketika sedang mengemis di hadapan bank di Sungai Petani, semalam.

“Kita pernah menyelamatkan lelaki ini pada Januari lalu di tempat sama, bagaimanapun dia kembali mengemis dengan memberi alasan tidak mempunyai pendapatan.

“Tindakan menyelamat lelaki berkenaan dilakukan dengan menempatkannya di Rumah Seri Kenangan (RSK) Bedong sebelum mendapat perintah Tahan Sementara Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977 daripada mahkamah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Turut diselamatkan, dua lelaki masing-masing warganegara Thailand berusia 46 tahun dan warganegara Kemboja berusia 50 tahun yang dirujuk ke Jabatan Imigresen.

Azmi berkata, operasi bermula 5 petang hingga 7 malam itu membabitkan tujuh agensi lain iaitu polis, Jabatan Imigresen, Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendaftaran Negara.

Sembilan lokasi sekitar Sungai Petani disasarkan dalam operasi berkenaan seperti Bazar Ramadan Jalan Lama Wisma Ria, Bazar Ramadan Jam Besar, Bazar Ramadan Tikam Batu, bank sekitar Lagenda Height dan Maybank Taman Ria Jaya.

Dalam operasi, JKM turut merampas 11 tong derma yang dikatakan dimiliki pusat tahfiz dan surau untuk dirujuk ke Pejabat Agama Daerah.

Dalam pada itu, Azmi berkata, operasi itu dilakukan bersempena ‘Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu’ dalam usaha membersihkan imej negara daripada gejala pengemis.

“Kempen ini bertujuan mendidik masyarakat supaya menyalurkan sumbangan atau derma mengikut saluran betul,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata seramai 106 pengemis tempatan dan warga asing diselamatkan di seluruh negeri itu dalam 153 operasi diadakan sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 66 pengemis tempatan manakala 40 lagi pengemis warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 10:59 AM