SULTAN Sharafuddin menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena majlis berbuka puasa di Masjid Padu Permai.
Amirul Aiman Hamsuddin
cnews@nstp.com.my

Sungai Besar: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mencemar duli menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Taman Padu Permai di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri RM219,000 kepada 438 penerima.

Daripada jumlah itu, RM3,500 diserahkan kepada tujuh asnaf fakir manakala RM157,500 diagihkan kepada 315 asnaf miskin dan RM58,000 diserahkan kepada 116 saudara baru dengan masing-masing menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut merasmikan Masjid Taman Padu Permai yang menelan belanja RM9.5 juta dan mampu memuatkan kira-kira 1,500 jemaah.

Masjid yang mula beroperasi pada 7 Mac tahun lalu, menjadi masjid ke-43 dibina di daerah ini.

Sultan Sharafuddin dan hadirin kemudian menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak serta solat sunat Tarawih.

Turut mencemar duli Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 3:59 AM