V Tanawali keluar dari Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM6,000 atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan dua tahun lalu. FOTO Supian Ahmad
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


WANITA warga emas yang dirakam menampar dan memukul kanak-kanak perempuan lebih 30 kali menggunakan rotan hingga video kejadian itu tular, dipenjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh V Tanawali, 63, selepas wanita itu menukar kepada pengakuan bersalah dan sepatutnya hari ini adalah sambung bicara kes itu apabila seorang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara bermula hari ini dan enam bulan lagi jika gagal membayar jumlah denda itu dan tertuduh membayarnya.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh yang juga penjaga mangsa didakwa melakukan penganiayaan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ketika kejadian dengan memukulnya menggunakan rotan pada bahagian muka, badan, kedua-dua kaki dan tangan di rumah di Taman Puchong Perdana pada 11 pagi, September 2016.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya V V Suloshani, manakala tertuduh diwakili peguam bela G Manimegalai.

Pada awal Jun 2016, video berdurasi dua minit 50 saat itu yang dirakam rakan baik tertuduh, dimuat naik sebelum tular di Facebook dan difahamkan, wanita itu menjaga kanak-kanak berkenaan sejak ibunya meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 3:14 PM