JHO Low. FOTO NSTP
Agensi

AHLI perniagaan kontroversi, Low Taek Jho, atau dikenali Jho Low, dilihat bersantai di pusat peranginan Thailand di Phuket awal bulan ini sebelum mentornya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia (PRU 14).

Laman web Bussiness Insider Malaysia memetik laporan Wall Street Journal (WSJ) kelmarin, Jho Low berada di Phuket sementara menunggu kejayaan Najib.

Laporan menambah, individu yang mengenali Jho Low mendakwa lelaki itu sudah meninggalkan Thailand dan ‘dilihat lebih berhati-hati’ selepas kekalahan Barisan Nasional dalam PRU 14.

“Keakrabannya dengan Najib, yang memerintah selama hampir sedekad menjadikan dia kebal,” kata laporan.

Dia juga boleh berhubung secara langsung dengan Najib dan lingkungan dalaman pemimpin itu sebelum pilihan raya.

Perdana Menteri Malaysia yang baharu dipilih, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan ‘secara kasar’ tahu di mana untuk mencari Jho Low yang didakwa dalang di sebalik skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata laporan akhbar tempatan.

Jho Low, bekas perunding 1MDB, menafikan sebarang dakwaan salah laku dan bersembunyi daripada khalayak awam sejak 2015.

Laporan WSJ menyatakan, peguam ahli perniagaan itu berkata, dia enggan ditemuramah atau mendedahkan di mana lokasinya.

Laporan akhbar sebelum ini berkata, Jho Low bersembunyi di Taiwan. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 12:07 PM