Muhammad Syahmi menunjukkan kemahirannya bermain kiub rubik.
HM Digital

Alor Setar: Seorang anak jati Kodiang, Jitra di sini berharap mendapat tajaan kerajaan mahupun individu bagi membolehkannya mewakili negara dalam Kejohanan Kiub Rubik Asia 2018 di Taipei, Taiwan pada Ogos ini.

Muhammad Syahmi Mohd Jafri, 23, berkata, dia memerlukan kira-kira RM3,000 untuk tiket penerbangan, makan dan tempat tinggal di negara itu dalam pertandingan selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Ogos.

Katanya, dia tidak mampu untuk mengumpul sendiri wang sebanyak itu berikutan masih menuntut di Univeristi Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor dalam jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

“Saya tidak mempunyai penaja utama. Sebelum ini saya pernah mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa di luar negara, semuanya atas tajaan individu termasuk UPM.

“Kali ini saya harap mendapat tajaan daripada kerajaan negeri kerana hanya saya seorang wakil dari Kedah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata bagi menyertai pertandingan peringkat Asia, dia perlu memenuhi beberapa kriteria termasuk pernah mencatat masa menyusun kiub rubik tidak melebihi 15 saat.


MUHAMMAD Syahmi (kiri) bersama rakan sepasukan mewakili negara dalam World Rubik’s Cube Championship 2017 di Paris, Perancis pada Julai tahun lalu.

“Saya pernah capai rekod rasmi lapan saat dalam Kejohanan Borneo 2017 di Kota Kinabalu, Sabah tahun lalu, tapi secara purata rekod saya adalah antara sembilan hingga 11 saat.

“Di peringkat tempatan, saya pernah memenangi pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Pulau Pinang, Johor dan Nilai sebelum ini.

“Antara kejohanan lain yang pernah saya sertai Kejohanan Terbuka Medan 2018, World Rubik’s Cube Championship 2017 di Paris, Perancis dan Rubik’s Cube Championship 2015 di Sao Paulo, Brazil,” katanya.

Katanya, dia kini adalah antara 100 pemain terbaik dunia.

“Sekiranya hasrat saya untuk bertanding di Taipei nanti tercapai, saya yakin mampu berada di tangga lima terbaik Asia dan seterusnya mengejar cita-cita menjadi pemain kiub rubik terbaik dunia dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:31 AM