LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
BERNAMA

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sekiranya gagal hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya, esok, untuk membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, notis sudah diserahkan kepada Najib untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada jam 10 pagi, untuk dirakam keterangan.

“Sekiranya beliau tidak hadir untuk proses mengambil keterangan, beliau boleh dikenakan tindakan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam tanpa mengulas lanjut bentuk tindakan yang boleh diambil.

Beliau berkata, setakat ini, SPRM hanya memanggil Najib sahaja dan belum membuat keputusan memanggil individu lain.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Jumaat lalu, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di Kuala Lumpur untuk menghantar notis meminta Ahli Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Berita berkaitan

'Najib yang perlu hadir ke SPRM'

SPRM hadir di rumah Najib, Selasa ini

SPRM panggil Najib beri keterangan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 9:50 PM