MARDIAH Ahmad Mokhtar memangku anaknya, Siti Nur Aafiyah Roslan berusia sebulan yang menghidap masalah kepala besar ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


BAYI berusia sebulan, Siti Nur Aafiyah Roslan dari FELDA Jengka 6, Maran, terpaksa menanggung derita kerana menghidap penyakit lebihan cecair dalam kepala atau lebih sinonim dengan penyakit kepala besar.

Ibu bayi berkenaan, Mardiah Ahmad Mokhtar, 36, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak kandungannya berusia empat bulan oleh doktor pakar di Klinik Kesihatan Maran.

Apabila mengetahui perkara ini, katanya, beliau dan suami Roslan Mat Husin, 39, yang bekerja sebagai pemandu lori hanya mampu terdiam.

“Sebagai ibu dan bapa, sudah tentu kami sedih melihat keadaan anak namun kami reda dengan ujian Allah SWT dan perlu tabah menghadapinya.

“Saya lalui proses kehamilan dengan perasaan tidak boleh digambarkan. Saya sedih, hiba dan kerap menangis, tetapi saya kuatkan semangat demi anak lain. “Saya kena bersedia fizikal dan mental untuk menyambut kelahiran Siti Nur Aafiyah. Alhamdulillah proses bersalin berjalan lancar cuma luka pembedahan saya panjang kerana kepala Siti Nur Aafiyah membesar,” katanya ketika, hari ini.

Mardiah yang juga suri rumah berkata, selain Siti Nur Aafiyah, anak sulungnya, Maisarah, 11, turut menghidap masalah fizikal dan lembab dalam pelajaran.

Menurutnya, ujian selepas melahirkan Siti Nur Aafiyah lebih hebat lagi berbanding dilalui mereka sebelum ini ketika membesarkan Maisarah.

“Siti Nur Aafiyah sudah menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 4 Mei lalu bagi meletakkan alat untuk mengeluarkan air daripada kepalanya.

“Selepas pembedahan, pelbagai dugaan kami lalui semasa di hospital apabila dia demam, komplikasi, tidak beri tindak balas dan banyak lagi perkara yang menguji kecekalan saya sebagai ibu.

“Namun saya bersyukur semuanya sudah kami lalui dengan berbekalkan doa dan semangat daripada keluarga serta kawan yang banyak memberikan sokongan. Terima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan bantuan kewangan,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, semua rawatan sudah ditukarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kerana lebih dekat berbanding PPUM.

Malah, katanya, doktor memberitahu mungkin anaknya akan jalani beberapa pembedahan lagi, namun akan ditentukan kemudian.

Justeru, orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Siti Nur Aafiyah boleh menyalurkan ke dalam akaun CIMB Bank Mardiah dengan nombor 02100031455527 atau boleh hubungi talian 019-6761866.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 12:39 PM