ANGGOTA bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa tersepit dalam SUV Kia Sportage yang terbabas dan merempuh pokok dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Lintang, Melaka, petang semalam. FOTO ihsan bomba.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


LIMA penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu, Alor Gajah, nyaris maut selepas kenderaan sukan pelbagai guna (SUV) Kia Sportage dinaiki mereka merempuh pokok dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Lintang, Melaka, petang semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, lima penuntut itu termasuk tiga perempuan dalam perjalanan dari Muar, Johor ke Melaka.

Jurucakap polis berkata, MPV berkenaan yang dipandu penuntut lelaki berusia 19 tahun dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian lalu melanggar pokok di bahu jalan.

“Akibat kejadian itu, pemandu SUV luka di bahu dan kaki kiri manakala rakannya di bahagian penumpang hadapan cedera di kepala serta badan.

“Sementara itu seorang daripada tiga penuntut perempuan yang duduk di bahagian belakang patah kaki kiri,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, semua mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil Penguasa Bomba Kanan (PBK) II Md Seleman Tugi berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.39 petang, sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kami dapati dua mangsa tersepit iaitu seorang di tempat duduk belakang dan seorang lagi di bahagian penumpang hadapan.

“Kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit itu dengan menggunakan alat khas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 8:28 AM