SAID (kiri) menunjukkan sebahagian hasil rampasan dadah berikutan penahanan lima suspek dipercayai pengedar dadah. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


POLIS menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di daerah Kemaman berikutan penahanan lima lelaki bersama sejumlah dadah bernilai lebih RM60,000, kelmarin.

Semua suspek dipercayai aktif mengedar dadah sejak lima bulan lalu itu ditahan bersama dadah dianggarkan seberat 178.7 gram.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, semua suspek berusia 25 hingga 41 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman pada 2.30 petang.

“Ketika serbuan, seorang daripada suspek berusia 36 tahun diperiksa dan polis menemui 190 biji pil dipercayai pil kuda dalam poket seluarnya.

“Turut ditemui dalam satu lagi plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu. Pada masa sama, polis menahan tiga suspek lain di dalam rumah itu dan menemui satu bungkusan plastik putih yang dicampak di atas lantai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung tangkapan dan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, hari ini.

Katanya, pemeriksaan turut menemui dua peket plastik cerah yang setiap satunya berisi serbuk dan ketulan keperangan disyaki dadah jenis heroin serta satu peket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu.

“Dalam plastik putih itu juga terdapat tiga peket plastik cerah dan setiap peket di dalamnya berisi 10 biji pil berwarna merah disyaki pil yaba (pil kuda),” katanya.

Katanya, polis juga merampas peralatan menghisap dadah, alat membungkus dadah, alat penimbang digital, satu peket plastik cerah berisi sejumlah plastik kosong dan satu pemetik api.

“Semua suspek adalah penganggur dan kita turut menyita sebuah Toyota Wish dianggarkan bernilai RM45,000 serta motosikal Yamaha Nouvo LC bernilai RM3,500.

“Suspek mengaku mendapatkan dadah itu dari Pengerang, Johor, dua hari sebelum mereka ditahan untuk pasaran di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, menerusi saringan ujian air kencing, empat daripada lima suspek turut didapati positif dadah.

“Suspek berusia 36 tahun negatif dadah, tetapi mempunyai satu rekod jenayah mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala empat yang lain tiada rekod jenayah.

“Mereka kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) dan 12 (3) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 6:12 PM