POKOK besar di Taman Keladi tumbang dan menghempap gerai dan sebuah kereta dalam kejadian ribut. FOTO Omar Osman
Omar Osman
cnews@nspt.com.my


LEBIH sepuluh peniaga bazar Ramadan sekitar Taman Keladi dan Taman Sejati, Sungai Petani mengalami kerugian ribuan ringgit selepas gerai mereka rosak teruk dalam kejadian ribut sejurus selepas waktu berbuka malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, sebuah gerai di Taman Keladi rosak selepas dihempap pokok besar manakala, lebih 10 gerai di Taman Sejati rosak diterbangkan angin.

Beberapa peniaga bazar Taman Sejati yang ditemui berkata, angin kuat berserta hujan lebat berlaku selepas berbuka puasa, ketika semua peniaga sudah menutup gerai masing-masing dan ada yang sudah pulang.

Seorang daripadanya, Salleh Ayub, 50, berkata ketika kejadian, dia sudah pulang ke rumah dan dimaklumkan seorang rakan bahawa banyak gerai di Taman Sejati diterbangkan angin kuat lalu dia bergegas ke gerainya.

Katanya, sebaik tiba dia melihat sebahagian khemah gerai termasuk miliknya terbalik selain barangan berterabur di tepi jalan.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana ketika itu hujan lebat. Terdapat lebih sepuluh gerai yang rosak akibat kejadian ribut malam tadi dan akibat kejadian itu, saya dan peniaga lain mengalami kerugian lebih RM3,000 kerana perlu membeli kelengkapan gerai yang baru.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda, Kapt (PA) Azhar Ahmad berkata, pihak APM menerima panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang di Taman Keladi pada 9.07 malam, lalu bergegas ke tempat kejadian bersama empat anggota.

"Sebaik tiba di lokasi ,pihaknya dapati terdapat pokok besar di jalan utama telah tumbang dan menghempap kereta Proton Perdana dan sebuah gerai bazar Ramada, namun waktu kejadian tiada mangsa yang terbabit.

Katanya, kerja pembersihan pokok tumbang telah dilakukan anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) dan tindakan segera diambil membantu anggota berkenaan sehingga selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 12:47 PM