KACHANG (gambar kecil) meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas di Iskandar Puteri, malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


JURUKIMPAL maut selepas motosikal ditunggangi hilang kawalan sebaik melalui kawasan air bertakung di Kilometer 25 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas di Iskandar Puteri, malam tadi.

Dalam kemalangan pada 9.38 malam, mangsa Kachang Anak Anjang, 48, yang bekerja di Singapura meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Wave dinaikinya terbabas ke kanan jalan hingga menyebabkannya cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal itu gagal mengawal kenderaannya ketika melalui kawasan air bertakung.

“Siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal motosikalnya ketika merentasi jalan yang dipenuhi air bertakung.

“Ia menyebabkan motosikal berkenaan terbabas ke sebelah kanan jalan dan mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan paramedik,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang beralamat di Taman Mutiara Rini, Skudai dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai.

Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 2:43 PM