ANGGOTA polis menutup mayat mangsa Muhammad Afiq Daniel Abdul Rahim (gambar kecil) yang maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal yang diboncengnya bertembung di Kampung Tebing Tembah dan yang lain dilaporkan kritikal. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


PELAJAR lelaki maut selepas motosikal diboncengnya bertembung dengan sebuah skuter di Kampung Tebing Tembah, Paka, Dungun, malam tadi.

Dalam kejadian pada 9.15 malam, Muhammad Afiq Daniel Abdul Rahim, 14, dipercayai meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan lelakinya berusia 13 tahun dalam perjalanan dari arah rumahnya menghala ke masjid.

Bagaimanapun, sebuah skuter Yamaha Ego ditunggangi dua beradik berusia 14 dan 11 tahun dikatakan tiba-tiba membuat pusingan U di situ.

Berikutan itu, motosikal yang ditunggangi mangsa gagal mengelak lalu merempuh skuter dinaiki dua beradik terbabit.

Rempuhan kuat itu menyebabkan keempat-empat mangsa tercampak di atas jalan, dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, rakan mangsa turut parah, manakala dua beradik terbabit dilaporkan kritikal.

“Semua mangsa yang parah dan kritikal dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 2:07 PM