Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


PEKEBUN sayur dari Cameron Highlands kerugian RM150,000 selepas mendakwa diperdaya seorang lelaki yang menawarkan pembelian nombor ramalan yang tidak wujud.

Suspek dikatakan mendakwa nombor ramalan yang ditawarkan kepada mangsa mampu memenangi hadiah berjumlah RM2 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku pada April lalu apabila mangsa berusia 79 tahun berjumpa dengan suspek.

“Suspek memberitahu mangsa mempunyai nasib yang baik dan mungkin akan kena nombor ekor (ramalan). Mangsa yang percaya kemudian memberikan RM20 kepada suspek untuk memberi nombor ekor.

“Selepas itu, suspek mendakwa nombor berkenaan memenangi hadiah RM2 juta pada 2 April lalu.

“Namun, mangsa perlu membayar RM150,000 terlebih dahulu jika mahu mendapatkan hadiah itu, kerana resitnya didakwa ada pada suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Wazir berkata, akibat terlalu inginkan duit berkenaan, mangsa menyerahkan wang RM50,000 kepada suspek sebanyak dua kali, dan RM30,000 sekali pada 9 April lalu.

“Kesemua wang berkenaan diserahkan kepada lelaki berkenaan di kawasan Ringlet dan Ladang Boh, Cameron Highlands.

“Selain itu, mangsa ada memasukkan wang tunai ke dalam akaun bank suspek sebanyak RM20,000 pada 15 April lalu.

“Mangsa kemudian cuba hubungi suspek untuk mendapatkan wang RM2 juta, namun gagal,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasa ditipu oleh lelaki itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, semalam.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti pemilik akaun bank digunakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 1:29 PM