RADUAN (kanan) membuat aduan kepada sekretariat PPIM berhubung penipuan pembelian telefon dalam talian.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kerana ingin membeli satu telefon pintar berharga RM500, seorang lelaki menanggung kerugian lebih RM200,000 selepas mendakwa diperdaya satu sindiket penjualan alat telekomunikasi secara dalam talian.

Bukan itu saja, mangsa yang mendakwa dipukau turut membuat pinjaman bank sebanyak empat kali untuk membuat bayaran malah dia turut dikenakan pelbagai caj termasuk guaman dan kastam.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Raduan, 30, berkata, dia tertarik untuk membeli telefon pintar berkenaan selepas melihat promosi diiklankan di sebuah portal beberapa bulan lalu.

Menceritakan perkara itu Raduan berkata, dia kemudian menghubungi penjual terbabit menggunakan aplikasi WhatsApp sebelum diminta memasukkan wang pendahuluan RM250 ke akaun diberikan.

Dia pada mulanya tidak mengesyaki perkara mencurigakan, sebaliknya teruja untuk menggunakan telefon pintar baru yang bakal diterima beberapa hari kemudian selepas membuat bayaran awal.

“Tidak lama kemudian penjual terbabit menghubungi saya, dia beritahu sudah terlebih buat tempahan iaitu sehingga lima unit telefon pintar. Dia kemudian buat tawaran untuk jual semua telefon bimbit berkenaan yang kononnya masih berada di Singapura dan saya terus setuju.

“Tanpa banyak soal saya kemudian masukkan RM3,000 dan selepas itu kami hanya berhubung menggunakan e-mel. Selepas itu, saya membuat banyak lagi bayaran, apa yang pelik saya hanya ikut arahan penjual terbabit, bila dihitung bayaran dibuat sudah mencapai RM80,000.

“Selepas sebulan kami masih berhubung, namun penjual itu masih minta wang daripada saya. Dia berjanji akan bayar semula wang berkenaan bersama barangan dibeli,” katanya ketika membuat aduan kepada sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Raduan berkata, setiap kali penjual itu meminta wang, dia terpaksa meminjam daripada rakan-rakan, menjadualkan semula dua pinjaman bank serta membuat dua pinjaman baru.

“Bila sudah berlarutan, saya mendesak penjual itu mengembalikan semua wang saya dan mereka turut menawarkan khidmat guaman untuk saya menyelesaikan masalah ini.

“Keluarga termasuk isteri sudah mengesyaki sesuatu yang tidak kena, namun saya seperti tidak mengendahkan nasihat mereka malah terus berurusan dengan sindiket itu.

“Sampai satu tahap, saya juga sudah serahkan butiran peribadi seperti nombor akaun bank. Saya tidak tahu apa yang saya buat dan jadi seperti tidak tentu arah. Sedar-sedar, saya sudah serahkan hampir RM200,000 semata-mata untuk beli sebuah telefon pintar,” katanya.

Sementara itu, Aktivis Kanan PPIM, Muhammad Zharif Johor berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti sama ada dalang kes itu membabitkan sindiket sama pernah disiasat sebelum ini.

Beliau turut menasihatkan pengadu agar membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat dan dalang dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

“Kita nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pembelian secara dalam talian kerana ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menipu pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 6:37 AM