MASZLEE berjanji memberikan perkhidmatan terbaik apabila menyandang jawatan terbabit. -Foto fail
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang diumumkan sebagai Menteri Pendidikan dalam Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilaporkan terkejut dengan pelantikan itu, hari ini.

Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menamakan dirinya bagi mengisi portfolio itu, semalam namun melepaskannya kerana bercanggah dengan manifesto PH.

Menerusi portal Malaysiakini, Maszlee berjanji memberikan perkhidmatan terbaik apabila menyandang jawatan terbabit.

“Saya tidak menyedari tentang pelantikan itu dan saya rasa ini satu penghormatan.

“Saya akan lakukan yang terbaik berkhidmat kepada rakyat dan negara,” katanya seperti dipetik portal berita itu.

Maszlee adalah bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Mac lalu, sebelum dipilih menjadi calon di Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau memperoleh 18,157 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Liang Teck Meng yang menerima 14,682 undi serta calon PAS, Mohd Jubri Selamat (2,983 undi), sekali gus menang dengan majoriti 3,475 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 10:45 PM