GAMBAR hiasan
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


DUA sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas dua tuduhan melakukan rompakan bersenjata membabitkan kerugian lebih RM40,000, April lalu.

Tertuduh Muhammad Safuan Abdul Latif, 22, dan Muhammad Ridhwan Hamzah, 28, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan bersama dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pemutar skru membabitkan pelbagai barangan milik Siti Zubaidah Ramli, 39, dianggarkan bernilai RM5,000 di sebuah rumah di Taman Melaka Baru pada 10.30 pagi 21 April lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Dalam pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan perbuatan sama ke atas harta milik Farah Izzaty Aznan, 30, dianggarkan bernilai RM38,500 di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh pada 4.10 petang 22 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi mencadangkan mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana mempunyai beberapa kes jenayah lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Ridhwan yang tidak diwakili peguam merayu dibenarkan jaminan, malah Muhammad Safuan yang diwakili peguam Ishak Kari turut merayu dibenarkan jaminan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan dilarang mendekati mangsa serta saksi pendakwaan. Perbicaraan kes ditetapkan pada 24 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 5:45 PM