Hadzlihady Hassan
hadzlihady@nstp.com.my


BARU sejam tiba dari negaranya, wanita warga Thailand berputih mata apabila beg tangannya dilarikan peragut ketika menunggu rakan menjemputnya berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Masjid Negeri, Georgetown, semalam.

Dalam kejadian pada jam 2 petang itu, mangsa, 44, mengalami kerugian wang tunai kira-kira RM1,000, seutas rantai emas, telefon pintar dan dokumen peribadi.

Menurut sumber, mangsa tiba ke negeri ini kira-kira sejam sebelum itu dan menunggu rakan datang menjemputnya berhampiran stesen minyak berkenaan.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba seorang lelaki yang menunggang motosikal terus menarik beg tangan mangsa yang diletakkan di atas bagasi miliknya.

“Mangsa menjerit meminta pertolongan, namun tiada sesiapa datang membantu dan suspek terus memecut motosikalnya,” katanya.

Sumber berkata, hasil keterangan daripada mangsa, dia mendakwa suspek datang dari belakang dan tidak sempat melihat nombor pendaftaran motosikal berkenaan.

“Mangsa memberitahu dia hanya sempat melihat fizikal suspek yang berbadan kurus, memakai jaket biru dan bertopi keledar putih.

“Polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen minyak terbabit, namun ia hanya merakam kawasan stesen minyak dan pintu masuk permis,” katanya.

Katanya, polis sedang memburu suspek berkenaan untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 5:42 PM