RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) menyampaikan replika resit kadar bayaran zakat fitrah kepada Imam Besar Negeri Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar (kanan) selepas selesai solat jumaat di Masjid Negeri Arau. FOTO Ihsan Istana Arau
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perlis (MAIPs) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah bagi umat Islam negeri ini kekal seperti tahun sebelumnya iaitu RM7.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata, kadar berkenaan selari dengan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali ke-35 yang bersidang pada 8 Mac lalu, dan diperkenankan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“MAIPs turut meminta seluruh umat Islam di negeri ini supaya melaksanakan ibadat zakat melalui amil-amil kariah dan agensi yang dilantik oleh MAIPs.

“Pada tahun ini, MAIPs menyasarkan kutipan sumbangan zakat fitrah adalah sebanyak RM1.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding 2017,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, sumbangan itu akan diagihkan kepada golongan fakir dan miskin di seluruh negeri.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan majlis pengumuman rasmi kadar itu di Masjid Negeri Arau selepas selesai menunaikan solat Jumaat, hari ini.

Ia dilancarkan bersama majlis Sumbangan Bantuan Aidilfitri anjuran Ahli Lembaga Kariah Masjid Negeri Arau (ALKMNA) kepada anak-anak yatim kariah Masjid Negeri Arau.

Berangkat sama, anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan baginda ke program tahunan terbabit disambut Imam Besar Negeri Perlis Ahmad Sirajuddin Abdul Satar dan Setiausaha ALKMNA Abd Majid Abd Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 3:52 PM