Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Dengan kedua-dua belah mata ini, saya saksikan pemuda Palestin yang berada di kiri dan kanan saya rebah ke bumi selepas tubuh mereka ditembusi peluru akibat bedilan tentera rejim Zionis.

“Setiap kali mendengar bunyi tembakan masing-masing akan periksa badan sendiri jika kami kena tembak. Kami tidak gentar dengan peluru rejim Zionis kerana semua peserta demonstrasi memang mahu syahid di jalan Allah SWT,” kata Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman.

Nadir berkata, demikian ketika berkongsi pengalaman dilalui dan menceritakan keadaan pada hari terakhir demonstrasi aman Great Return March di sempadan Gaza-Israel, kelmarin.

Dia yang juga satu-satunya rakyat Malaysia kini menetap di Palestin, meluahkan rasa amat kagum dengan keazaman rakyat Palestin yang tidak berganjak dan terus berada di sempadan sehingga hari terakhir demonstrasi semata-mata mahu menuntut semula tanah mereka yang dirampas oleh rejim Zionis.

Dakwanya, selain melepaskan gas pemedih mata, tembakan peluru getah dan hidup tentera rejim Israel juga dipercayai menyerang peserta demonstrasi menggunakan gas beracun dalam usaha menyekat mereka daripada melepasi sempadan Israel.

Mengikut rekod 58 rakyat Palestin menjadi korban manakala 2,400 lagi dilaporkan cedera sepanjang demonstrasi bermula 30 Mac lalu itu berlangsung.

Menurut Nadir yang turut menyertai demonstrasi itu, selepas solat Subuh, peserta terutama dalam kalangan kumpulan pemuda yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Unit Tayar’ mula membakar tayar di kawasan sempadan.


Nadir ketika menyertai demonstrasi Great Return March di sempadan Gaza-Israel.

“Asap hitam yang terhasil menyukarkan penembak tepat rejim Israel membidik peserta. Kumpulan kedua yang digelar ‘Unit Pagar Pemisah’ yang berbekalkan pemotong besi dan wayar pula sedaya upaya mendekati pagar sebelum cuba memotong dawai berduri dipasang,” katanya.

Menurutnya, penembak tepat tentera rejim Zionis yang terdesak dalam usaha membantutkan kemaraan peserta demonstrasi turut menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai sasaran.

Menjawab soalan wartawan, Nadir berkata, dia tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang menyertai demonstrasi berkenaan.

Katanya, hari pertama Ramadan di Gaza disambut dalam keadaan sederhana saja berikutan ramai yang kekurangan atau langsung tidak ada bekalan makanan.

Nadir yang juga Pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia (PCGM) berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sepanjang Ramadan sebanyak RM586,000.

“Sebagai permulaan, PCGM mahu menyediakan 500 pek iftar dengan segera supaya 500 keluarga ada bekal menempuh bulan mulia ini. Sumbangkan kepada PCGM boleh dilakukan menerusi akaun Maybank 5648 1050 7826,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 10:12 AM