ROSLAN Tahir (kanan) bersama pegawainya semasa sidang media rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK). -Foto IMRAN MAKHZAN
Zarina Abdullah
cnews@nstp.com.my


TIDAK serik mempunyai rekod 22 kali ditahan akibat kesalahan dadah, pengedar berusia 40 tahun dipercayai sedang menunggu pelanggan ditahan kerana memiliki 720 butir pil kuda di Kampung Tebakang, Marang, malam tadi.

Nilai pil kuda dan dadah lain dirampas daripada suspek dalam serbuan itu adalah RM10,950.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, suspek yang berada berdekatan dengan motosikal Honda EX5 miliknya yang diparkir di tepi jalan gagal melarikan diri apabila dikepung polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Roslan Tahir berkata, suspek yang mempunyai 22 rekod kesalahan dadah memberi kerjasama baik semasa pihak anggota polis membuat pemeriksaan.

Beliau berkata, polis pihak berkuasa menjumpai 600 pil kuda berada dalam poket suspek sementara 120 lagi pil ditemui dalam raga motosikal miliknya.

“Polis turut menemui satu peket syabu dan satu botol cecair kehitaman dipercayai ubat batuk di dalam raga motosikal suspek yang kemudiannya dibawa ke Balai Polis Marang untuk siasatan lanjut.

“Ujian air kencing suspek didapati positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 8:05 PM