SOMSAK (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas selepas menumpaskan kegiatan samun membabitkan empat suspek pada sidang media di IPD Tapah. FOTO/FARAH SUHAIDAH OTHMAN
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


EMPAT penyamun yang aktif melakukan kegiatan jenayah di sekitar daerah Tapah berjaya diberkas di Kampung Poh, dekat Bidor, semalam.

Dalam kejadian pada 3.30 petang itu, suspek berusia 21 hingga 39 tahun ditahan ketika melarikan diri dengan menaiki sebuah Perodua Kelisa selepas melakukan kegiatan samun.

Ketua Polis Daerah Tapah Asisten Komisioner Somsak Din Keliaw berkata, kesemua suspek ditahan dalam tempoh 20 minit selepas menyamun Klinik Desa Kampung Poh pada 3.10 petang.

Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit juga sebelum itu dipercayai melakukan dua kes samun di Rumah Murah, Bidor dan Taman Air Kuning Jaya, Tapah dalam tempoh enam jam sebelum diberkas.

“Bagi kejadian samun klinik, mangsa seorang jururawat masyarakat berusia 36 tahun didatangi kumpulan penjenayah terbabit sebelum seorang daripadanya mengacukan parang ke leher anak mangsa berusia enam tahun.

“Suspek mengugut dan memaksa mangsa untuk menyerahkan kunci kereta sebelum kumpulan itu melarikan diri menaiki Perodua Kelisa milik mangsa,” katanya dalam sidang media pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, hari ini.

Somsak berkata, siasatan awal mendapati, semua suspek berasal dari Selangor menaiki Honda City yang dilaporkan hilang di Selayang sebelum kereta itu ditemui dibakar di Kampung Poh dipercayai untuk melupuskan bukti.

“Polis kini sedang menjejaki dua lagi suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan samun berkenaan.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, terdahulu, bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Tapah yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Wan Azharuddin menggantikan Somsak yang dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pulau Pinang dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Majlis serah terima tugas berkenaan disaksikan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 1:18 PM