Mohd Firdaus Ibrahim
cnews@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Bagi menghalang kepulangan rakyat Palestin ke tanah air mereka yang dijajah, tentera rejim Zionis membunuh 55 rakyat Palestin selain mencederakan 2,410 yang lain dalam tempoh kurang 24 jam bermula kelmarin.

Angka kematian dan kecederaan terkini itu dimaklumkan Penyelaras Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi yang kini berada di Gaza.

Hamza berkata, angka korban dan jumlah kecederaan dijangka meningkat berikutan masih ramai rakyat Palestin berkumpul di sempadan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Jelasnya, sejak 30 Mac lalu rakyat Palestin berkumpul di sempadan Gaza-Israel untuk menyertai demonstrasi aman Great Return March atau Perarakan Pulang Besar-Besaran yang berakhir, semalam.

Namun, demi menuntut semula tanah air yang dirampas lebih ramai dijangka berkumpul di sempadan meskipun tarikh demonstrasi berkenaan secara rasmi sudah tamat.

Perarakan itu juga bertujuan untuk memberikan tekanan kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke Jerusalem.

Menurut Hamza, kementerian kesihatan di Gaza, juga sudah mengeluarkan kenyataan merayu bantuan bekalan darah yang kini semakin menyusut berikutan jumlah yang mengalami kecederaan amat tinggi.

“Saya sendiri ke Hospital Shifa, Gaza untuk lihat sendiri keadaan di sana. Petugas perubatan sibuk memberikan rawatan kepada mangsa manakala ratusan lagi yang mengalami kecederaan terpaksa berbaring atas lantai sementara menunggu giliran.

“Setiap dua minit akan ada ambulans yang tiba (di hospital) membawa dua hingga tiga mangsa yang terkorban atau cedera,” katanya, semalam.

Menjawab soalan wartawan, Hamza berkata, pekarangan hospital turut dibanjiri rakyat Palestin yang mahu mendapatkan perkembangan terkini mengenai ahli keluarga mereka menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Katanya, suasana di hospital itu amat hiba apabila ada dalam kalangan ahli keluarga meratapi pemergian insan tersayang yang syahid di jalan Allah.

Dalam perkembangan sama, Hamza berkata, tentera rejim Israel bukan saja melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru hidup di kawasan sempadan Gaza-Isreal, malah turut melakukan serangan udara.

“Bom dan peluru berpandu disasarkan ke bangunan kerajaan dan kediaman penduduk. Kami di Palestin akan terus berjuang. Doakan supaya kemenangan bersama kami,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia di Palestin, Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman berkata, lebih ramai rakyat Palestin dijangka berkumpul di sempadan Gaza-Israel.

“Rakyat Palestin akan terus berjuang untuk pulang ke tanah yang dirampas kerajaan rejim Israel biarpun sedar akan menjadi korban,” katanya.

Nadir yang juga Pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia (PCGM) berkata, dengan izin Allah, dia sendiri akan menyertai rakyat Palestin.

“Moga doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi setiap langkah pembebasan Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam,” katanya.

Orang ramai juga diminta terus menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin melalui akaun Maybank rasmi PCGM, 5468 1050 7826.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 6:46 AM