Ular sawa yang ditemui dalam reban di rumah mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Khalid Latip
cnews@nstp.com.my


MISTERI kehilangan ayam ternakan penduduk di Jalan Abang Ali, di Bintangor, terjawab dengan tertangkapnya seekor ular sawa sepanjang kira-kira tiga meter, hari ini.

Reptilia itu ditangkap sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas menerima panggilan daripada pemilik ayam berkenaan, Penah Ili, 60, pada jam 9.13 pagi.

Penah berkata, sebelum berjaya ditangkap, ular sawa itu sempat menelan sembilan ayam peliharaannya menyebabkan ia tidak mampu keluar dari reban.

“Ayam itu adalah pemberian saudara-mara dan saya memeliharanya sejak dua minggu lalu. Sudah menjadi kebiasaan, setiap pagi saya akan memberi mereka makan, namun pagi tadi saya agak pelik kerana tidak ada sebarang pergerakan dan bunyi ayam dalam reban.

“Sebaik sahaja menghampiri reban, saya melihat sesuatu yang berbintik dan terkejut selepas mendapati ia ular sawa,” katanya kepada NSTP.

Penah berkata, ular itu tidak agresif kerana kekenyangan dan memuntahkan seekor ayam yang dimakannya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menangkap ular itu menggunakan penjerut dan melepaskannya ke habitat asal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 5:57 PM