GAMBAR hiasan
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan menampar muka isterinya, dua bulan lalu.

Helmy A Rahman, 51, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara menampar muka isterinya berusia 26 tahun sebanyak tiga kali.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Taman Tiang Dua Mutiara, kira-kira jam 11 malam, pada 5 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria mencadangkan jaminan RM6,000 dikenakan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam bela Ishak Kari merayu jumlah jaminan rendah dikenakan dengan alasan perlu menanggung enam anak dan dua cucu, selain tertuduh yang bekerja sendiri dan tidak berpendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 serta menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 3:11 PM