Md Razif (tengah) pada sidang akhbar AADK, semalam.
HM Digital

Petaling Jaya: Sebanyak 15 lokasi panas menjadi markas penagih dadah di Selangor dikenal pasti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri untuk digempur selepas ini.

Langkah itu
bagi mengekang masalah penyalahgunaan dadah
dan memastikan aktiviti itu ditumpaskan sepenuhnya.

Pengarah AADK Selangor Md Razif Wan berkata, kawasan itu dibahagikan kepada empat kategori membabitkan perkampungan tradisional, nelayan, perumahan kos rendah dan penempatan dalam projek pembangunan perladangan seperti Felda.

Beliau berkata, tiga unit AADK iaitu Unit Penguatkuasaan, Pencegahan serta Rawatan dan Pemulihan bertindak mengikut peranan bagi menghapuskan kewujudan port panas berkenaan.

“Secara dasarnya kami mengadakan Kempen Perangi Dadah Habis-habisan (PDH).

“Bagi Unit Penguatkuasaan, kami menjalankan Op Cegah dan Bersepadu bersama agensi lain serta meletakkan pegawai di kawasan panas untuk menunjukkan kehadiran AADK. Pada masa sama bergaul dengan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau memaklumkan, pihaknya menggunakan media sosial untuk mendidik masyarakat mengenai keburukan penyalahgunaan dadah selain melantik ikon antidadah membabitkan individu berpengaruh.

Menurutnya, antara kawasan panas di Selangor adalah di Sungai Besar, Sabak Bernam; Pandamaran dan Bandar Klang, Klang; Kampung Datuk Harun dan Kampung Medan, Petaling Jaya.

“Di Ampang, kawasan panas adalah di Pandan Indah, Pekan Ampang dan Hulu Klang, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 4:54 AM